Kem JISADANI 2010

Alhamdulillah wa shukrulillah, pada 23 & 24 Oktober 2010, New Management Team (NMT) dengan sokongan padu dari Kelab Penyokong Ibu Bapa JISADANI (KPIJ) telah menganjurkan Kem Anak Angkat JISADANI siri 1 bertempat di Rock Eco Resort, Sungai Tua, Ulu Yam, Selangor. Kem ini diadakan setelah perancangan rapi sejak 3 bulan yang lalu.

 

Seramai 83 orang peserta telah menyertai perkhemahan ini yang terdiri dari 57 orang pelajar dan 26 orang Ayah Angkat serta bapa-bapa dari kalangan ahli Qariah dan Muzakarah. Para peringkat awal perkhemahan ini dikhususkan kepada semua anak-anak yatim di bawah selian Yayasan Al-Jenderami dan para pelajar asrama JISADANI namun setelah mendapat sambutan yang menggalakkan, penyertaan telah dibuka kepada semua anak-anak lelaki kepada ahli Qariah dan Muzakarah Al-Jenderami yang menuntut di JISADANI.

Lihat Album


 

Tujuan utama perkhemahan ini adalah :

  1. Menerapkan kefahaman mengenai hala-tuju JISADANI

  2. Memperbaharui motivasi dalam kehidupan seharian pelajar

  3. Meneguhkan ukuwah yang terjalin antara ayah-ayah angkat dan para pelajar

 

 

Aktiviti pagi Sabtu dimulakan dengan acara ‘memburu harat karun’ yang bertujuan memupuk budaya pemikiran kreatif. Selepas Zohor, Wakil NMT iaitu Tuan Haji Zainal Abidin b. Ahmad telah menerangkan hala-tuju JISADANI kepada semua pelajar. Diikuti dengan acara ‘graf Hidup’ yang dipimpin oleh jurulatih yang berpengalaman iaitu Tuan Haji Mojtahidin b. Haji Isa yang kini berkhidmat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepengunaan (KPDNKK) , sesi tersebut memberi ruang kepada Ayah Angkat untuk menyelami hati-hati anak-anak mereka dalam mengharungi hidup sebagai anak yatim dan dunia pelajar di Madrasah Al-Jenderami.

 

Pada sebelah petangnya pula acara ‘merentas halangan’ diadakan, bagi melatih para pelajar membina keyakinan diri dan semangat setia kawan. Selepas sembahyang Isyak ‘Slot Motivasi’ telah dipimpin oleh Tuan Haji Amanuddin bin Shamsuddin iaitu Pensyarah Utama dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), objektif sesi ini adalah untuk menerapkan rasa penghargaan dan bersyukur pada diri para pelajar kerana berpeluang tinggal dan menuntut ilmu dalam suasana jamaah Islam.

 

Aktiviti pagi Ahad telah dimulakan dengan acara ‘merentas hutan; jungle tracking’ ianya telah diketuai oleh Ketua Jurulatih Rock Eco Resort, Ayah Jelani yang menerangkan serba sedikit ‘survival’ hidup di hutan dan mengajar pelajar untuk menghargai flora dan fauna ciptaan Allah swt. Aktiviti yang terakhir adalah acara Sukaneka yang bertujuan mengajar para pelajar untuk mengambil pengajaran positif dari setiap aktiviti yang diadakan.

 

Pihak penganjur iaitu ayah-ayah angkat JISADANI telah menaja perkhemahan ini, manakala bagi anak-anak qariah dan muzakarah mereka telah menyumbang sedikit yuran sebagai ‘commitment fees’ untuk terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti.

 

Pada sesi penutup perkhemahan siri 1 ini, koordinator program dari NMT iaitu Tuan Haji Azman b. Yusof telah melahirkan rasa bersyukur kerana setiap ayah angkat telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan kelancaran perkhemahan ini.

 

Perkhemahan sulung ini telah ditutup secara rasmi oleh Timbalan Pengerusi Yayasan Al-Jenderami yang juga Pengarah Besar JISADANI iaitu Dato’ Dr Haji Jamaluddin bin Abdul Hamid, yang merupakan warga contoh Al-Jenderami kerana tidak pernah berehat dalam memperjuangkan nasib anak bangsa, kata-katanya yang bernas lagi menyuntik semangat akan dijadikan ‘azimat’ oleh semua warga JISADANI.

 

Pihak penganjur juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Al-Fadhil Tuan Guru Haji Muhd Hafidz b. Hj Selamat, yang sentiasa memberi dorongan dan panduan dalam setiap program yang dilaksanakan oleh NMT dan KPIJ. Insyallah perkhemahan ini akan dianjurkan 2 kali setahun dan akan disulami dengan program-program susulan bagi memastikan kesinambungan dan gerak kerja yang ‘istiqomah’ dalam usaha mentarbiyah anak-anak JISADANI. ..Wallahu ‘alam.