Pusat Kecemerlangan

LATARBELAKANG

Kehadiran Pusat Kecemerlangan Insan Al-Jenderami (PKIJ) di tengah-tengah masyarakat ini adalah hasil dari cetusan hati dan pemikiran Tuan Guru Hj. Mohd. Hafidz bin Hj. Selamat yang merasakan sudah sampai masanya kita harus menyusun kemas kemudahan pendidikan anak-anak di sini dan sekitarnya.

Penyusunan kemudahan dan program pendidikan rendah dan tinggi ini bagaimana pun hanyalah satu permulaan kepada satu gagasan yang lebih besar dalam usaha pembangunan ummah, khususnya umat Melayu hari ini.

PKIJ ini diibaratkan sebagai sebuah kota ilmu bagi pentarbiyahan sahsiah dan akhlak mulia sebagaimana yang dianjurkan Rasulullah berteraskan Al-Quran dan sunnahnya merentasi setiap peringkat umur insan-insan yang cekal dan yakin dengan usaha ini.

 

Wawasan & Matlamat

Penubuhan semua program dan kemudahan penyebaran ilmu yang bakal di bangunkan ini adalah berteraskan satu pendekatan atau satu penghayatan disiplin yang diwarwarkan oleh T.G. sendiri dengan kata ringkasnya JISADANI - mengambil sempena nama seorang pendekar dan panglima perang handalan dari Pulau Jawa yang bersemangat waja tapi berhati mulia yang berjuang untuk bangsa, ugama dan tanah airnya.


KEPERLUAN

Sesungguhnya semangat JISADANI yang bakal dihayati oleh generasi pelajar kini mampu menyemai dan menyemarakkan patroitisma Melayu yang sememangnya dianjurkan oleh Islam iaitu ‘hubbul watan’ atau kasih kepada tanah air atau Negara. Islam tidak pernah menafikan mana-mana bangsa dari menyemai semangat kebangsaan dan menyayangi tanah tumpah darahnya. Malah mempertahankan Tanah Air dan agama Islam adalah ‘jihad’. Dengan berterasakan semangat JISADANI dan persaudaraan serumpun bangsa Melayu Nusantara, para pelajar akan pastinya dapat menghayati patroitisma Kebangsaan Melayu Islami dan tidak akan lupa akan asal usulnya.

Anak-anak JISADANI juga tidak harus lupa akan perjuangan wira-wira negara menentang penjajahan British seperti Tok Janggot, Tok Bahaman, Mat Kilau, Dato Maharaja Lela di Perak.

Malah di Negara Indonesia juga sama. Nama-nama seperti Pattimura, Diponegoro dan Imam Bonjol yang menentang penjajah Belanda di awal kurun ke-19.

Pahlawan JISADANI Al-Jenderami patut mengetahui semua sejarah ini barulah mereka semua dapat menghayati apa yang dimaksudkan dengan semangat patriotis, perjuangan dan pengorbanan.

Apa pun yang paling penting di sini ialah kecekalan, kegigihan, pengorbanan, keperwiraan dan keimanan dan ketakwaan mereka terhadap agama Allah.

 

CIRI-CIRI PKIJ

Insyallah Pusat ini akan berikhtiar memakmur dan menyemarakan kembali tinggalan tamadun Melayu Islami masa silam tapi disesuaikan dengan pelbagai kemajuan terkini mencakupi bidang bahasa Melayu, kesenian dan cara hidup orang Melayu khususnya penggunaan tulisan Jawi dan tulisan khat, pengajian kitab-kitab lama karangan ulama-ulama tersohor, pembentukan budaya keluarga Islam terutama dalam adat istiadat perkahwinan, mentahnik dan mencukur rambut dan memberi nama anak yang baru lahir, majlis khatam Al-Quran dan upacara berkhatan serta menyemarakkan semangat gotong royong khususnya ketika kenduri kendara. Tidak ketinggalan juga keupayaan dayacipta rekaan Batik dan ukiran. Apa pun anak Melayu tak akan menyisih adat resam, tata-susila dan akhlak Melayu yang banyak diperagakan melalui pantun, syair dan gurindam agar orang Melayu tak lupa asal usulnya.

Sebenarnya ketamadunan Melayu berakar-umbi melalui ajaran Islam, seperti hormat pada ibubapa, orang-orang tua, alim ulama, dan raja-raja Melayu. Apa yang kita nikmati hari ini adalah legasi dari ajaran Islam sejak zaman berzaman. JISADANI pastinya mampu menghidupkan kembali nilai-nilai yang hampir lenyap ditelan zaman.

 

HARAPAN KAMI

Semoga kehadiran PKIJ berpandukan semangat JISADANI di tengah-tengah masyarakat Malaysia dengan beberapa kelainannya diharapkan dapat mencetuskan perubahan positif dalam menerapkan sifat-sifat terpuji berteraskan sunnah Rasulullah dan budaya Islami dan Melayu di kalangan pelajar-pelajarnya, disamping mempertingkatkan daya kepimpinan dan ilmuannya bagi memenuhi tuntutan dunia dan akhirat.