MauliduRasul s.a.w

5, 6 & 7 Januari 2017

 

 

 
 
 
 
 
 

Sumbangan atas-talian

maybankLogo

 

  Sebarang pertanyaan,
  sila hubungi
  Email:
    info@aljenderami.com.my
  Tel: +603-87680200
  Fax: +603-87680201
  Hubungi Kakitangan

 

Sejarah Penubuhan dan Perkembangan MIJH 1985 hingga 2001

 

Madrasah Islamiah Jenderam Hilir yang berkonsepkan perkampungan pondok dan madrasah dibuka dari ilham Tuan Guru Haji Muhammad Hafidz bin Haji Selamat serta berkat guru dan alim ulama’ terdahulu di sekitar Hulu Langat seperti Tuan Guru Haji Hashim dan Tuan Guru Haji Muhammad Zain. Matlamat utama penubuhan MIJH adalah untuk menghidupkan semula ‘Peradaban Ilmu Wal Ulama’ iaitu menghidupkankan adab-adab dan ketinggian ilmu dan seterusnya melahirkan ulama’ yang mahir ilmu agama.

 

Tuan Guru Haji Muhammad Hafidz dan beberapa sahabat beliau serta beberapa kakitangan UDA telah membeli tanah asal seluas 3.59 ekar secara perkongsian dari Bank Islam melalui ‘Bithamin Ajil’ dengan nilai RM 95 000. Kawasan ini telah diperluaskan sehingga 20 ekar yang mempunyai 5 fasa pembangunan di mana sebahagian kawasan seluas 1.7 ekar diwakafkan untuk pembelajaran kitab umumi dan khususi. Pada peringkat awal sekitar tahun 1985 hanya mudir dan beberapa orang muridnya sahaja tinggal di perkampungan ini tetapi menjelang tahun 2000 jumlah rumah bertambah kepada 50 buah dengan 250 orang penduduk termasuk kanak-kanak.

 

Pentadbiran MIJH mempunyai organisasi yang sistematik, teratur dan terancang. Sistem pentadbiran ini berdasarkan pimpinan seorang mudir dan dibantu oleh beberapa orang sahabat yang merupakan amalan pentadbiran perkampungan pondok yang telah diamalkan sejak beratus-ratus tahun dahulu. Mudir iaitu Tuan Guru Haji Muhammad Hafidz merupakan pengerusi madrasah dan organisasi pentadbiran telah dipecahkan kepada 2 bahagian iaitu Jawatankuasa Qariah yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Mustafa b. Abdullah dan Jawatankuasa Madrasah yang diketuai oleh Al-Fadhil Sheikh Haji Muhammad Hafidz b. Haji Selamat.

 

Pelbagai program disediakan untuk memenuhi keperluan penduduk dan masyarakat sekeliling. Secara amnya program utama terbahagi kepada 2 bahagian iaitu: < Tawaran bergantung kepada kekosongan dan perkembangan semasa>

1.Program asas berteraskan pendidikan

  1. Pondok Warga Tua untuk warga tua lelaki dan perempuan.

  2. Madrasah Sanawi Lil Banat yang dikhususkan untuk pelajar perempuan yang menekankan ilmu diniah, perkakasan, akademik dan kemahiran hidup.

  3. Pengajian kitab Umumi yang dibuka kepada ahli qariah dan penduduk setempat. Berkisar kepada pengajian Ilmu tauhid, feqah, tasauf, tafsir dan huraian hadis.

  4. Menyediakan guru-guru yang boleh mengajar kitab bagi memenuhi permintaan di kawasan-kawasan luar madrasah.

2.Program dakwah dan kemasyarakatan:

  1. Kursus dan khidmat pengurusan jenazah.

  2. Kursus latihan imam dan bilal.

  3. Kursus Kemahiran hidup untuk belia.

  4. Program ziarah ulama’, makam, pusat-pusat pengajian dan negara-negara Islam lain.

  5. Program rehlah untuk ahli qariah.

  6. Kem Bina Insan untuk pelajar berusia 10 hingga 15 tahun.

  7. Program sambutan Maulud di madrasah dan di luar atas undangan.

3.Program-program Lain:

  1. Gotong-royong membersihkan persekitaran madrasah dan kampung sebulan sekali

  2. Program jualan muslimat mengikut kumpulan.

  3. Jualan lelong untuk kutipan duit membantu pihak yang memerlukan.

  4. Pembacaan Yassin, tahlil dan ratib setiap malam Jumaat.

  5. Program belia dan anak-anak kampung seperti silat, kelas tambahan dan senaman.

  6. Aktiviti ekonomi seperti koperasi, pasar segar dan warung.

 

Dalam usaha menjayakan matlamat penubuhan, MIJH tidak lari dari menghadapi pelbagai mehnah dan cabaran samada secara zahiriah mahupun batiniah:

  1. Politik. Arus politik di Malaysia pada hari ini banyak berkisar kepada pertentangan antara golongan sekular dan agama. Hal ini memberi tempias kepada golongan yang mahu mengamalkan cara hidup Islam berasaskan ilmu dan bukan berasaskan gerakan harakah.

  2. Fitnah. Penubuhan MIJH dalam era pertumbuhan gerakan dan badan dakwah telah membawa spekulasi dan persepsi negatif kepada konsep yang cuba diperjuangkan.

  3. Halangan dunia, manusia, nafsu dan rezeki. Kesemua faktor yang disebutkan ini boleh menyebabkan kurangnya tawakal dan taqwid dalam diri seseorang. Selain dari yang disebutkan banyak lagi cabaran dan ujian yang telah, sedang dan akan dilalui oleh MIJH dalam merealisasikan matlamat kewujudan institusi ini.

 

Adalah menjadi harapan kepada Tuan Guru Haji Muhammad Hafidz sebagai mudir dan pengasas tertubuhnya madrasah ini bahawa MIJH akan:

1.Menjadi pusat kepada:

  1. Dua’fa’ ilmu kepada orang yang jahil

  2. Dua’fa’kasih sayang bagi yang ketandusan kasih-sayang

  3. Dua’fa’ rezeki bagi yang kesempitan hidup

  4. Dua’fa’ kejiwaan bagi yang rindukan amalan zikir, qasidah, wirid dan sebagainya

  5. Dua’fa’ bagi yang mencari jalan agama serta tidak putus asa dalam mencari jalan agama yang sebenar.

2.Pusat kelahiran alim agama

MIJH akan menjadi mahsyur bukan kerana sebab yang lain, melainkan kerana ketinggian ilmu serta mampu melahirkan mereka yang beramal dengan ilmu malahan boleh pula mengajarkan ilmu tersebut.

3.Model

MIJH boleh dijadikan model sistem perkampungan pondok dan madrasah bagi mereka yang mempunyai cita-cita untuk membina madrasah dan perkampungan seumpamanya.

4.Perintis

Perintis kepada pembukaan cawangan MIJH di tempat-tempat lain seperti yang telah dibina di Kampuchea untuk menegakkan iktikad ahli Sunnah wal Jamaah.

 

Kini, bukti kejayaan penubuhan MIJH telah mula tampak, perkara utama yang perlu ditekankan ialah mengisi kejayaan tersebut dengan berusaha mengekalkan matlamat utama MIJH ditubuhkan. Semoga usaha ikhlas ini diberkati Allah dan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung akan mendapat barakah penghidupan di dunia dan akhirat.

 

Perjalanan MIJH : Bahagian 1

 

Perjalanan MIJH : Bahagian 2

 
Joomla templates by Joomlashine